Sukarelawan Politeknik membantu mangsa banjir



KUALA KRAI 10 Dis. - Sukarelawan Yayasan Politeknik Malaysia (YES Politeknik) dan 1Malaysia For Youth Politeknik Kota Bharu (1M4U PKB) bergabung tenaga membantu mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, dekat sini baru-baru ini.

Penyelarasnya, Mohd. Shaiful Azhar berkata, pihaknya membersihkan kawasan sekitar pusat pemindahan itu bagi memastikan ia berada pada tahap terbaik.Menurutnya, bantuan tersebut juga secara tidak langsung merupakan satu bentuk pendidikan sahsiah kepada para pelajarnya selaras dengan saranan kerajaan melahirkan golongan muda yang berjiwa sukarelawan.

"Selain membersihkan pusat pemindahan, para sukarelawan ini juga membuka kelas tuisyen bagi memastikan masa terluang anak-anak mangsa banjir ini diisi dengan aktiviti berfaedah.
"Jika sebelum ini kita membantu membersihkan rumah mangsa banjir, kali ini kita mengambil pendekatan berbeza dengan memberikan bantuan dari aspek pendidikan kepada anak-anak yang tinggal di pusat pemindahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, sukarelawan PKB itu turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan rakyat (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis dan bomba.Sementara itu, Ketua Pasukan YES Politeknik, Nur Fatihah Zaini Kamaruzaman berkata, pihaknya amat teruja dapat 

membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.Katanya, pengalaman mengendalikan kerja-kerja sukarelawan itu banyak membantu meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi dan sahsiah diri dalam kalangan setiap anggota pasukan berkenaan.

"Melalui kerja-kerja ini juga kita dapat melihat dan merasai suasana mangsa banjir yang terpaksa berpindah setiap kali rumah mereka ditenggelami air."Kami semua dapat menyelami perasaan mangsa yang cukup tabah menghadapi dugaan setiap kali rumah mereka   
ditenggelami air," ujarnya.


Sumber  :  Utusan Malaysia

IKLAN PRODUK TEMPATAN