Bidang robotik di negara ini telah dikenali sebagai satu daripada bidang yang mungkin rumit tetapi menyeronokkan.Apa sahaja robot yang dihasilkan, sama ada bersifat humanoid atau berinspirasikan sesuatu termasuk haiwan atau robot tangan, pasti mempunyai elemen yang boleh menghiburkan.
Dalam bahasa utama yang juga penyelidik robot bererti pekerja, berdasarkan daripada itu, kita memahami bahawa robot dicipta sebagai pekerja atau menggantikan tugas manusia. Sebab itu robot biasanya berfungsi sebagai pekerja - pengganti kepada manusia .Istilah robot pertama kali digunakan pada tahun 1920.
Perkataan robot berasal dari perkataan 'robota' iaitu dari bahasa Czech yang menjadi pertuturan masyarakat di sebuah negara di Eropah Timur yang bermaksud dipaksa bekerja. Bidang robotik sebenarnya dapat membantu meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains. Apatah lagi ia merangkumi pelbagai elemen termasuk hiburan dan permainan serta teknologi kepintaran buatan.
Oleh itu, banyak program berkaitan robotik perlu diperbanyakkan. Bukan setakat permainan dan pertandingan semata-mata, tetapi juga fungsi dan masa depannya. Lagi pula, industri robotik makin berkembang dan tidak tertumpu di kilang-kilang pembuatan seperti pembuatan kereta dan elektronik sahaja.
Kini, teknologi robotik digunakan dalam pelbagai sudut dan bidang seperti penerokaan angkasa lepas, perisikan ketenteraan, alat sokongan untuk orang kurang upaya, alat terapi untuk pesakit dan orang tua serta mesin untuk melakukan kerja-kerja di rumah.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Ridzuan Ahmad, biarpun bidang robotik sebenarnya amat luas, namun di negara ini bidang tersebut masih tertumpu kepada industri pembuatan.Kegunaan teknologi robotik masih tidak meluas disebabkan kesedaran tentang penggunaan teknologi ini masih rendah,รข katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jelas Dr. Ridzuan, usaha kerajaan mengadakan pelbagai pertandingan inovasi robotik dilihat sangat baik dan dapat membantu mengembangkan minat serta ilmu pengetahuan masyarakat terhadap bidang robotik.
Selain itu, hasil penyelidikan robotik oleh para penyelidik di universiti-universiti tempatan seharusnya tidak terhenti kepada penerbitan jurnal sahaja.Namun harus diteruskan ke arah produk-produk robotik yang boleh dikomersial.Dengan itu, hasil penyelidikan tersebut dapat dirasai faedahnya oleh masyarakat, katanya.
Tambah Dr. Ridzuan, jika dilihat pada sudut kajian robotik, fokusnya adalah agak pelbagai dan tidak tertumpu kepada kegunaan robot di peringkat industri pembuatan sahaja. Sebagai contoh, jika di bidang ketenteraan, teknologi robotik digunakan untuk menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) yang digunakan untuk tujuan risikan. Manakala di bidang perubatan, penggunaan robot tangan mampu membantu doktor untuk melakukan pembedahan dengan kejituan yang sangat tinggi.
Seterusnya di bidang penerokaan angkasa lepas, robot dihantar ke angkasa lepas untuk melakukan kerja-kerja penerokaan yang tidak mampu di capai oleh manusia.Penghasilan robot seperti binatang peliharaan juga mempunyai nilai-nilai perubatan di mana terdapat kajian terhadap pesakit yang menghidapi masalah kemurungan dapat dikurangkan apabila ditemani oleh robot tersebut.
Inovasi serta idea yang baharu berjaya menghasilkan robot untuk membantu melakukan kerja-kerja rumah seperti robot penyedut hampagas yang kini banyak terdapat di pasaran. Dalam pada itu, kajian untuk menghasilkan robot berbentuk manusia (humanoid) juga sedang berkembang pesat. Antara matlamat akhir kajian humanoid adalah untuk menghasilkan pasukan robot humanoid yang dapat bermain bolasepak dengan pasukan bolasepak manusia yang telah memenangi piala dunia.
Sumber : Utusan Malaysia