Hukum Menyimpan Janggut dan Misai Dalam Islam





Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:-

"Di antara fitrah Islam ialah mengerat misai dan memanjangkan janggut kerana sesungguhnya orang-orang Majusi memanjangkan misai mereka dan mengerat janggut, berbezalah kamu daripada mereka dengan mengerat misai kamu dan memanjangkan janggut-janggut kamu” 
(Ibnu Hibban)


Di dalam sebuah hadis yang di petik dari "Musannaf Ibn Abi Sayiban" diberitakan seorang Majusi yang telah mencukur janggutnya dan mempunyai misai yang panjang datang kepada Rasulullah SAW. Tatkala melihatkan ini Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:



"Di dalam agama kami, kami diperintahkan mengerat misai dan memanjangkan janggut."


Hukum janggut mengikut 4 Mazhab  yang tersohor ialah :-

HANAFI
Sebahagian mengatakan sunat, sebahagian lagi mengatakan wajib menyimpan janggut.

MALIKI
Ada yang mengatakan makruh dan ada yang mengatakan haram mencukurnya.

SYAFI'E
Makruh mencukurnya (Imam Rafi'iy dan Imam Nawawi).

HAMBALI
Wajib memeliharanya dan ada sebahagian yang hanya mengatakan sunat.




Golongan yang mengatakan SUNAT menggunakan hujah asas:

Apa yang Nabi SAW sarankan tanpa ancaman, jatuh hukum sunat. Memelihara janggut diletakkan dalam kitab-kitab fiqh dalam Bab: sunan al-fitrah.

Pendapat yang mengatakan janggut boleh dipotong(trim) pula, berpegang kepada amalan Ibn Umar RA yang mana janggutnya cuma segenggam.


Golongan yang mengatakan ia WAJIB:

Apa jua yang diperintahkan oleh Nabi SAW maksudnya wajib.
Pendapat yang mengatakan janggut tidak boleh dipotong pula berpegang dengan zahir hadith, peliharalah janggut, maka mereka akan pelihara janggut sepanjang-panjangnya.


Golongan yang mengatakan HARUS mencukur:

Pendapat yang mengatakan bahawa dibolehkan mencukur licin janggut, berpegang dengan fiqh al-maqosyid. Nabi SAW melarang kerana ada sebab pada zaman itu. Kini, illatnya(sebabnya) sudah tidak ada, maka mencukur janggut ialah harus. Menyimpan janggut adalah saranan yang disertai illat(sebab). Jika illatnya sudah hapus, maka gugurlah hukumnya. Pada zaman dulu, mencukur janggut ialah budaya orang bukan Islam. Illat utama janggut ialah membezakan Muslim daripada komuniti yang lain pada zaman Nabi SAW. Zaman itu, komuniti lain mencukur janggut, maka Nabi SAW ingin membina jati diri umat yang baru dibinanya, maka identiti umat Baginda ketika itu ialah berlawanan dengan amalan komuniti yang lain, justeru mengarahkan umatnya ketika itu menyimpan janggut. Zaman sekarang, illat itu sudah tidak ada kerana kaum dan orang bukan Islam juga turut menyimpan janggut, seperti artis, pemain bola sepak, Sikh, dan Rabbi. Maka gugurlah illatnya.

~ Selamat beramal ~




IKLAN PRODUK TEMPATAN