Yang Dipertua Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK, Ismail Shauki Ibrahim berkata, melalui program berbasikal itu, pihaknya turut membantu memperkenalkan tempat-tempat pelancongan di negeri ini.
"Dalam program ini, kami akan berkunjung ke beberapa tempat pelancongan seperti di Pulau Kundur dan Pantai Mek Mas yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan. Selepas itu, kami akan bersama-sama bergotong-royong memulih kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai tempat pelancongan," katanya di sini semalam.
Yang turut hadir pada program itu ialah Ketua Eksekutif PKINK, Mohd. Sabri Abdullah.
Pada program berkenaan, seramai 40 ahli Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK serta Photo Cycling menyertai kayuhan yang bermula di pekarangan PKINK di sini.
Ismail Shauki berkata, program ini bukan sahaja dapat membantu mempromosikan produk pelancongan malah ia juga dapat menyihatkan tubuh badan para peserta.
"Menerusi program ini juga, kita dapat memupuk semangat ahli-ahli untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. Beriadah menerusi aktiviti berbasikal ini juga dapat meningkatkan tahap kecergasan dan melahirkan pekerja yang lebih proaktif," katanya.
Beliau berkata, program sebegini akan diteruskan di masa akan datang dengan menarik penglibatan lebih ramai peserta.
"Kami akan meneruskan aktiviti ini dan akan menarik peserta dari Thailand untuk turut sama menyertai program berbasikal," katanya