Siri Mengenal Alat Muzik Tradisional - GONG @ TETAWAK IBU






Sejarah  Ringkas tentang Gong

           Alat 'Gong' di dunia wujud dalan dua bentuk yang khusus iaitu satu yang mempunyai 'busut' ataupun 'tombol'.Perkataan 'Gong' yang digunakan secara meluas di seluruh dunia sekarang ini berasal daripada perkataan Melayu/Indonesia.

           Keluarga 'Gong' di Malaysia secara umunya adalah terdiri daripada jenis-jenis yang berbusut ataupun yang 'bertombol'. Ianya diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti tembaga, timah, dan besi dan terdapat dalam berbagai bentuk dan ukuran yang kelihatan begitu berbeza di antara satu dengan yang lain termasuk juga pic dan timbre.

           Istilah tetawak yang sering kita dengar secara tradisi adalah merupakan satu istilah tempatan ataupun daerah bagi alat 'gong' yang digunakan secara meluas oleh masyarakat di negeri Kelantan khususnya dan juga di negeri-negeri lain di Malaysia.Di kalangan masyarakat di Sabah alat 'gong' dari jenis yang sama dikenali sebagai 'Tawag'.

           Pada masa kini terdapat juga alat 'Tetawak' yang diperbuat daripada besi sebagai alternatif oleh pakar-pakar dari kalangan masyarakat tempatan.Mereka menggunakan teknik 'petri' ataupun dibentuk daripada objek seperti 'leger' iaitu tong-tong minyak yang sedia ada kemudian dipetrikan.
                 



GONG / TETAWAK IBU

Gong /Tetawak Ibu mendukung peranan sebagai alat kolotomik yang utama dalam budaya muzik masyarakat Melayu tradisi  di Malaysia.Ianya sering digunakan secara berpasangan dengan Tetawak anak  khususnya dalam ensemble bagi mengiringi teater tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit Kelantan, Menora dan Main Petri serta tarian klasik istana dan tarian-tarian rakyat.

          Tetawak ibu, secara dikotomi, mempunyai pic suara yang lebih rendah dan bentuk fizikal yang lebih besar dari Tetawak Anak.Dalam konteks persembahan, pada prinsipnya Tetawak  Ibu dan Anak digantungkan pada tiang yang diukir khas dan Tetawak Ibu  hendaklah berada di sebelah kiri pemain.



IKLAN PRODUK TEMPATAN