Siri Sejarah Negeri - KEDAH Darul Aman




Perkembangan sejarah awal Negeri Kedah dan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh kedudukan ilmu alamnya yang begitu strategik di rantau ini. Dipandang dari sudut prasejarah, sekurang-kurangnya Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai jambatan atau landasan yang dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan dan seterusnya ke kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik.

Kemudian tatkala perdagangan maritim berkembang dengan pesatnya, Semenanjung ini telah memainkan peranan yang penting sekali kerana kedudukannya di pertengahan antara dua pusat perdagangan yang besar di masa itu iaitu India dan negara-negara Arab di sebelah barat dan Negeri China di sebelah timur.

Di kala pelayaran laut hanya bergantung kepada tiupan angin monsun, dan sementara menunggu pertukaran haluan tiupan angin tersebut, Semenanjung Malaysia telah dijadikan bukan sahaja tempat berteduh tetapi juga sebagai tempat untuk membuat pertukaran dagangan mereka.

Dilihat dari sudut yang tersebut di atas, kita dapati Negeri Kedah mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri yang secara tidak langsung telah menghasilkan keunikan perkembangan sejarah yang dilaluinya. Gua-gua batu kapur yang merupakan tempat tinggal atau tempat persinggahan masyarakat zaman prasejarah banyak terdapat di daerah-daerah Kubang Pasu, Kota Star dan Baling.

Apa yang lebih menarik ialah terdapatnya sebuah gunung yang tersergam indah di persisiran pantai yang dipercayai telah menjadi landmark kepada pelayar-pelayar yang melalui Lautan Hindi di zaman yang silam. Di samping itu, Negeri Kedah juga boleh dihubungi melalui jalan darat dengan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia tanpa menghadapi kesulitan.

Keseluruhan faktor-faktor yang tersebut di atas dengan sendirinya menunjukkan keagungan sejarah
yang telah dilalui oleh Kedah khasnya dan Semenanjung Malaysia amnya. Pada masa kejayaan Srivijaya, negeri ini telah dipilih sebagai ibu negeri iaitu sejak masa Sri Mara Vijayatunggavarman berdasarkan pahatan pada Larger Layden Plates sampai pada masa Sri Sangrama Vijayatunggavarman yang kemudian ditawan oleh Rajendra Chola I seperti yang disebut pada batu bersurat Tanjore.

Mengikut Hikayat Merong MahaWangsa, negeri Kedah telah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.



Maharaja Srivijaya

Bil Maharaja         Pemerintahan
1 Sri Udayadityavarman 960–988
2 Sri Chulamanivarman 988–1008
3 Sri Mara Vijayatunggavarman 1008–1017
4 Sri Sangrama Vijayatunggavarman 1017–1025
5 Sri Deva         1028– (?)

Sultan-Sultan Kedah

Bil Sultan Pemerintahan
1 Sultan Mudzafar Shah I 1136 - 1179
2 Sultan Mu'adzam Shah 1179 - 1201
3 Sultan Muhammad Shah 1201 - 1236
4 Sultan Mudzaffar Shah II 1236 - 1280
5 Sultan Mahmud Shah I 1280 - 1321
6 Sultan Ibrahim Shah 1321 - 1373
7 Sultan Sulaiman Shah I 1373 - 1422
8 Sultan Ataullah Muhammad Shah I 1422 - 1472
9 Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin I         1472 - 1506
10 Sultan Mahmud Shah II 1506 - 1546
11 Sultan Mudzaffar Shah III 1546 - 1602
12 Sultan Sulaiman Shah II 1602 - 1625
13 Sultan Rijaluddin Muhammad Shah 1625 - 1651
14 Sultan Muhyiddin Mansur Shah 1651 - 1661
15 Sultan Dziaddin Mukarram Shah 1661 - 1687
16 Sultan Ataullah Muhammad Shah II 1687 - 1698
17 Sultan Abdullah Mu'adzam Shah 1698 - 1706
18 Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I 1706 - 1709
19 Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II 1710 - 1778
20 Sultan Abdullah Mukarram Shah 1778 - 1797
21 Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II 1797 - 1843
22 Sultan Zainal Rashid Al-Mu'adzam Shah I 1843 - 1854
23 Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah         1854 - 1879
24 Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II 1879- 1881
25 Sultan Abdul Hamid Halim Shah 1881 - 1943
26 Sultan Badlishah         1943 - 1958
27 Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah 1958 - sekarang



IKLAN PRODUK TEMPATAN