Majlis graduasi SK Zainab 2 meriah

Zaiton Abd. Samad menyampaikan sijil graduasi kepada seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Zainab 2 dalam Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan 2013 sekolah itu di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.


KOTA BHARU 15 Dis. - Musim cuti persekolahan yang sedang berlangsung tidak menghalang kemeriahan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan 2013 Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2 di sini semalam.Malah, cuaca hujan di pertengahan majlis turut tidak melunturkan semangat seramai 97 murid tahun enam yang menerima sijil menandakan mereka telah menamatkan sesi persekolahan peringkat rendah di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) itu.

Lebih manis lagi, murid-murid terbabit menerima sijil mereka daripada Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Zaiton Abd. Samad, yang juga alumni sekolah tersebut. Majlis itu turut dihadiri Guru Besar SK Zainab 2, Aidah Mohd. Salleh. Bagi mencetuskan suasana kemeriahan, ibu bapa dan hadirin yang hadir turut dipersembahkan dengan tarian Action Song oleh sekumpulan murid yang pernah mewakili Kelantan ke pertandingan peringkat kebangsaan.

Selain majlis graduasi, turut diadakan penyampaian anugerah kecemerlangan kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum sepanjang tahun lalu.Turut menerima anugerah ialah seramai 37 murid yang mencatat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 dan 45 calon yang memperoleh keputusan sama dalam UPSR 2012. 

Sementara itu, Zaiton dalam ucapannya menekankan tiga ramuan penting yang perlu dimiliki oleh sesebuah sekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Tiga ramuan itu ialah, murid atau pelajar, ibu bapa dan guru yang menurut beliau, saling berhubungkait untuk menghasilkan kecemerlangan yang diimpikan.Beliau turut menarik perhatian peranan penting Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai 'ramuan tambahan' untuk kecemerlangan tersebut."PIBG ini umpama ramuan garam dalam makanan, maka itu PIBG harus memainkan peranan penting membantu sekolah mencapai kecemerlangan murid-murid," katanya.


Sumber  :  Utusan Malaysia



IKLAN PRODUK TEMPATAN