RANTAU PANJANG 16 Dis. - Penduduk di beberapa buah kampung khususnya di kawasan rendah yang terletak berhampiran Sungai Golok di sini, berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua yang dijangka melanda negeri ini.Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kampung antaranya Kampung Kubang Chenok di sini mendapati penduduk mula mengemas dan meletakkan barangan di tempat selamat ekoran hujan kembali melanda negeri ini sejak dua hari lalu.
Seorang penduduk, Rohani Zakaria, 32, berkata, dia yang baharu sahaja membersihkan rumah akibat banjir baru-baru ini kini kembali bersiap-sedia apabila paras air di Sungai Golok kembali naik dengan mendadak selepas hujan.Katanya, setiap tahun beliau dan keluarga terpaksa berada dalam situasi berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada dalam menghadapi banjir terutama pada bulan Disember dan Januari yang kadangkala datang tanpa diduga sehingga menenggelamkan sebahagian rumahnya.
"Rumah saya terletak bersebelahan dengan Sungai Golok, setiap kali hujan tidak henti dalam masa dua hari, saya akan mula membuat persiapan dengan mengemas barangan untuk diletakkan di tempat yang lebih selamat."Selalunya banjir akan melanda dua kali iaitu pada Disember dan Januari, gelombang pertama telah berlalu dan gelombang kedua dijangka melanda sekiranya hujan tidak berhenti dalam masa terdekat ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rahmah Sulaiman, 34, berkata, banjir baharu sahaja reda dan melihat cuaca yang tidak menentu sejak dua hari lalu, berkemungkinan banjir akan berlaku sekali lagi.Kata Rahmah, beliau sudah 'lali' dengan situasi itu dan sepanjang dua bulan ini dia dan keluarga tidak akan tenteram serta sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga."Banjir baru-baru ini tidak teruk dan saya tidak berpindah ke pusat pemindahan, namun andai hujan masih tidak berhenti, berkemungkinan banjir teruk akan berlaku. Sekiranya berlaku, saya sudah bersedia dan telah memindahkan barangan ke tempat yang selamat.
"Rumah saya terlalu hampir dengan Sungai Golok, sekiranya air melimpah, rumah di kampung ini antara yang terawal menerima kesan dan sekiranya keadaan bertambah buruk, akan terdapat rumah yang ditenggelami sehingga paras bumbung," katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia turut melakukan tinjauan sekitar kompleks bebas cukai di sini dan mendapati operasi perniagaan berjalan seperti biasa dengan orang ramai memenuhi kompleks berkenaan meskipun cuaca tidak menentu, ada ketikanya hujan sepanjang hari.Kesan daripada banjir baru-baru ini menyaksikan kebanyakan jalan di kawasan berkenaan rosak teruk dengan keadaan jalan berlopak serta dipenuhi air.
Seorang peniaga, Che Din Che Hassan, 55, berkata, ekoran banjir baru-baru ini kebanyakan jalan di kawasan itu mula berlopak dan dipenuhi air."Saya harap selepas banjir reda nanti, pihak bertanggungjawab akan segera mengambil tindakan menurap kembali jalan yang rosak kerana menjejaskan keselesaan pengunjung yang datang membeli belah di sini," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia