"Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada, maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari.........." (1)
Pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali dengan nama Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitar muara Sungai Kuantan iaitu berhadapan dengan bangunan hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekarang . Ia telah dibuka oleh Haji Senik (2) dan pengikut-pengikutnya dalam tahun 1850an.Nama Teruntum ini dikatakan berasal dari pokok Teruntum yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan pada ketika itu.
Semasa tinggal di sini mereka mengusahakan kawasan paya yang terletak di tapak hospital sekarang disamping menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti bahawa kawasan tersebut telah dijadikan penempatan ialah Perkuburan Cik Timah (3) berhampiran Taman Esplanade (Benteng) sekarang. Tapak Perkuburan Cik Timah.
Selain dari itu dikesahkan juga bahawa terdapat sebuah perkampungan di hulu Kampung Teruntum yang dibuka pada tahun 1854 oleh orang Melayu dari daerah Sumatera. Mereka diketuai oleh Encik Besar (4). Tempat ini kemudiannya dikenali dengan nama Kampung Orang Kuantan dan lama kelamaan panggilan ini di pendekkan kepada perkataan "Kuantan" dan kekal sehingga ke hari ini.
TEMERLOH - diceritakan serba sedikit mengenai sejarah Bandar Temerloh. Menurut hikayat melayu dahulukala, Temerloh bukan sahaja tempat yang terakhir bagi Batin Seridun, di mana beliau menguasai kawasan antara Gunung Senyum di sebelah barat dan Bukit Gebuk di sebelah timur. Jesteru itu, nama ini telah dipilih oleh Batin Seridun bagi menamakan salah sebuah daerah di dalam negeri Pahang sejak daerah ini ditubuhkan mulai 1 Julai 1889.
Menurut cerita Batin Seridun, pada suatu hari pada zaman dahulu, anak raja dari Minangkabau iaitu Sujudbilang dan abang-abangnya telah meninggalkan Minangkabau. Mereka berlayar ke Daik dan dari sana meraka ke Pahang. Setelah diperkenankan oleh Bendahara Pahang, mereka menaiki sebuah perahu galah lalu menyusur sepanjang Sungai Pahang. Setelah beberapa lama perahu itu mudik, maka perahu yang membawa rombongan itu telah sampai di tempat yang dikenali sebagai Sentang Mukim Kertau dalam daerah Maran. Mendengarkan ramai orang di darat, maka mereka pun singgah dan naik ke tebing untuk melihat keadaan sekeliling.
Malangnya, kehadiran Sujudbilang dan abang-abangnya tidak diterima oleh penduduk di situ. Sehubung dengan itu, Sujudbilang dan abang-abangnya cuba berbaik-baik dengan orang asli yang berada di sekitar sungai iaitu di kiri dan kanan Sungai Pahang. Dalam pada itu, Sujudbilang berkata kepada abang-abangnya, " Ramah tamah pangkal, modal budi bahawa penambat hati pembuka manis, selera nafsu." Abang-abangnya faham akan maksud Sujudbilang tersebut.
Maka mulai hari itu, di mana ada kampung orang asli pasti mereka akan singgah. Mereka memberi garam dan tembakau kepada orang-orang asli tersebut. Begitulah cara mereka menambat hati orang-orang asli yang ditemui. Sesudahnya mereka sampai di pengkalan Batin Seridun. Apabila mereka tiba di sana, perahu ditambat maka Sujudbilang dan abang-abangnya naik ke darat membawa garam dan tembakau. Jesteru itu, perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi semakin erat dan kukuh. Ini dapat dijelaskan melalui situasi dimana wujudnya persepakatan antara kedua-duanya iaitu mereka bersama-sama keluar pada awal pagi dan pulang lewat petang dengan membawa balik barang-barang makanan.
Pada waktu malam pula, mereka tidur meniarap di atas tanah yang telah diatur daun-daun kering sebagai alas tidur mengelilingi unggun api. Manakala kaum perempuan ditempatkan di suatu tempat khas yang berasingan dengan kaum lelaki. Dalam ramai-ramai itu cuma anak perempuan tok batin yang tidak mahu melelapkan mata kalau tempat tidurnya tidak beralas.
Mengikut cerita perkataan tidur dalam bahasa orang asli ialah "mereloh". Maka tempat mereka tidur beramai-ramai itu dibahasakan sebagai tempat "mereloh". Oleh itu, Sujudbilang dan abang-abangnya memanggil tempat orang asli itu tidur dengan "mereloh".Oleh kerana perkataan tempat "mereloh" itu panjang, maka ia dipendekkan kepada Temerloh supaya lebih senang menyebutnya. Itulah asalnya tempat yang dipanggil Temerloh dan Sungai Temerloh. Perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi lebih erat apabila Sujudbilang berkahwin dengan anak Batin Seridun yang bernama Bakoi. Dengan perkahwinan itu juga telah menyebabkan Batin Seridun dan orang-orangnya telah diISLAMkan oleh Sujudbilang. Peristiwa itu juga dikatakan telah mengembangkan agama ISLAM di Pahang Tengah.
Sehubung dengan itu, pada 1 Julai 1889 J.P Roger, Residen British yang pertama mulai menjalankan tugasnya sebagai Residen British di Pahang. Beliau juga telah membahagikan Pahang kepada enam kawasan pentadbiran iaitu daerah Pekan, Rompin, Kuala Pahang, Kuantan, Temerloh dan Hulu Pahang. Ini bermakna tempat tinggal Batin Seridun yang diberi kuasa kepada Sujudbilang telah dipilih sebagai nama salah sebuah daerah di Pahang iaitu Temerloh. Pada masa itu bandarnya dikenali sebagai Kuala Semantan. Kuala Semantan telah ditukar kepada Temerloh semenjak bandar baru di barat bandar Kuala Semantan dibuka dalam tahun 1898.
JERANTUT -
1) Berdasarkan cerita orang tua-tua bahawa asal usul perkataan "Jerantut" adalah berasal dari perkataan "Jeram" dan "Tut" yang diambil daripada nama orang "Awang Tut" yang sering mengail di kawasan jeram di tengah-tengah Sungai Pahang. Sebelum timbulnya perkataan "Jerantut" Pekan ini dipanggil "Simpang Empat" iaitu satu tempat dimana Jalan Keretapi dari Gemas ke Kota Baharu bersilang dengan jalanraya dari Kuala Lipis ke Kuantan. Mulai tahun 1914 nama "Simpang 4" ditukar kepada "Jerantut".
2) Satu lagi mengisahkan Pemburu dimana asal nama Jerantut dikaitkan juga dengan kisah cara orang kampung mendapatkan hasil buruan dengan cara menghalau buruan mereka ke Jeram dan apa bila mereka sampai ke jeram mereka akan bertanya sesama meraka di mana buruan itu? mereka akan menjawab ke "Jeram tu"..."Jeram tu" lama kelamaan kekal lah namanya hingga ke hari ini JERANTUT.
3) Cerita dari lisan.. kisahnya ada seorang tok batin orang asli yang berpengaruh bernama Tuk. Suatu hari dia menaiki rakit di sungai pahang.tak semena-mena,rakitnya telah berlanggar dengan jeram dan dia telah mati di situ. Jadilah nama tempat ni jeram tuk dan hasil daripada loghat pahang setempat..sebutannya menjadi jerantek (dieja jerantut)
BERA - mengambil sempena nama tasik, iaitu Tasik Bera selain nama Bera di perolehi melalui sumber masyarakat orang asli semelai iaitu berasal dari nama "Reba" (semak samun). Khabarnya ada satu pokok tua yang ganjil yang tinggi dan luarbiasa besarnya telah tumbang ke tasik ini dahan dan ranting yang terbenam itu menyebabkan tumbulah reba dengan banyaknya. Lalu sempena nama reba atau dalam bahasa orang asli di sebut "Bera".
KUALA LIPIS - Cerita pertama mengatakan bahawa nama Kuala Lipis berasal dari sejenis tumbuh-tumbuhan yang banyak terdapat di situ pada masa dahulu. Tumbuhan tersebut ialah "serau lipis" yang merupakan tumbuhan memanjat dan berbunga putih.
Menurut cerita kedua, nama Kuala Lipis berasal daripada perkataan "Lepas". Dahulu, sungai adalah alat perhubungan yang terpenting bagi masyarakat Melayu. Sungai Lipis dan Sungai Jelai membolehkan penduduk kampong di sepanjang sungai tersebut "lepas" ke sana ke mari. Maksudnya, mereka bebas untuk ke mana-mana.
Jadi, apabila mereka berhajat untuk pergi ke bandar, mereka berkata; "Keh nok ke Kolepas (Kuala Lepas)". Namun lama-kelamaan perkataan "lepas" itu bertukar menjadi "lipis" dan bandar itu pun dikenali sebagai Kuala Lipis atau Kolepih mengikut loghat orang-orang Kuala Lipis.
MARAN - Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit. Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).
Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai 'Maran' atau 'Sahabat' serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran. Kesahihan cerita tadi tidak dapat dipastikan kerana cerita sebenar yang berdasarkan fakta sejarah tulen masih belum terbongkar hingga ke masa ini.
PEKAN - Mengikut pendapat orang-orang tua, Pekan mendapat namanya dari sejenis bunga yang dipanggil Bunga Pekan yang banyak tumbuh menjalar di tebing-tebing Sungai Pahang. Bunganya berwarna putih seperti bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi sekarang dan akan datang. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai ini.
RAUB - Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang).
Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan. Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya, hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercayai mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB".
Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya, di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Pasir terdapat di kiri dan kanan tebatan itu serta kelihatan amat bersih. Kedua dua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya
Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "RAUP" sedangkan ejaan sekarang adalah "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan "RAUB" dari "RAUP".
BENTONG - Mengikut cerita lama, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut. Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai “Ban Untung†(ban yang menguntungkan). Perkataan “Ban Untung†menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan “Ban Untung†bertukar menjadi Bentong.
ROMPIN - Kuala Rompin asalnya adalah sebuah perkampungan nelayan. Sejarah namanya dikaitkan dengan sebatang pokok. Pada masa dahulu banyak pokok ru atau cemara tumbuh sepanjang pantai daerah Rompin. Antara pokok ru yang banyak itu, ada sebatang pokok ru yang besar dan tinggi. Yang ganjilnya ialah batang pokok ru itu ramping di bahagian tengahnya.
Hal ini cukup menghairankan penduduk tempatan dan cerita ini sering menjadi buah mulut mereka pada setiap masa. Ada yang menganggap keganjilan itu sesuai dijadikan penempatan. Semenjak daripada itu tempat itu dikenali dengan nama Ru Ramping. Oleh sebab nama itu panjang, akhirnya penduduk tempatan memendekkannya kepada Rumping. Seterusnya dialek tempatan menyebabkan perkataan Rumping menjadi atau disebut Rumpin tetapi dieja Rompin.
Cerita kedua berkisar kepada seorang lelaki misteri yang datang ke tapak bandar Kuala Rompin dan tinggal di bawah pokok ru itu. Lelaki itu tidak dikenali, tidak banyak bercakap dan tidak diketahui asal-usulnya. Pada mulanya dia berdagang, kemudian mengambil keputusan untuk tinggal di situ. Dia mendirikan sebuah pondok kecil di bawah pokok ru yang besar dan tinggi itu. Penduduk tempatan memanggilnya Riffin. Pada sesetengah orang yang berkunjung menganggap Riffin sebagai keramat. Penduduk tempatan memanggil kawasan pondok Riffin itu sebagai Ruffin. Kesan pengaruh dialek tempatan, sebutan Ruffin bertukar menjadi Rumpin. Rumpin dieja sebagai Rompin.
BANDAR TUN RAZAK (JENGKA) - Secara umumnya nama Jengka diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:
Mitos 1 : Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak behampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.
Mitos 2 : Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantara sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai "Jin ke tu?". Dari sinilah Jengka mendapat nama.
.